Aug 25, 2020 - FASPeneraju industri animasi negara, Les’ Copaque Production Sdn Bhd hari ini dinamakan sebagai salah satu penaja utama untuk program pembangunan bola sepak akar umbi FA Selangor, FAS Soccer School.
Dalam satu majlis yang berlangsung hari ini di ibu pejabat Les’ Copaque di Seksyen 13, Shah Alam, syarikat gergasi animasi negara ini telah menandatangani perjanjian bersama FA Selangor yang menyaksikan Les’ Copaque Production Sdn Bhd diumumkan sebagai Rakan Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi Rasmi Red Giants.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Presiden FAS, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selain disaksikan oleh Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Haji Burhanuddin Mohd Radzi dan Ketua Pengarah Kandungan Kreatif, Hajah Ainon Binti Ariff.
Bercakap kepada media, Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon menyatakan bahawa perjanjian FAS dan Les’ Copaque Production Sdn Bhd merupakan satu kerjasama yang saling melengkapi dan seiring dengan objektif perlaksaan program FAS Soccer School.
“FAS berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan bersyukur dengan kerjasama ini kerana Les’ Copaque Production Sdn Bhd bukan sahaja satu jenama animasi yang bertaraf antarabangsa, malah ia juga cukup dekat di hati kanak-kanak di Malaysia, khususnya dalam rancangan animasi Upin & Ipin,” kata Johan.
“Jadi, untuk program FAS Soccer School mencapai objektifnya, kerjasama erat antara dua entiti ini dilihat mampu dilihat sebagai pemangkin untuk FAS menyemai minat terhadap sukan bola sepak dalam kanak-kanak, khususnya yang tinggal di negeri Selangor.”
Pengarah Kandungan Kreatif Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Nur Naquyah Binti Burhanuddin turut senada dengan pendekatan tersebut dan berharap agar kedua-dua jenama dapat berkembang dengan lebih erat dengan perjanjian ini.
“Antara misi kami di Les’ Copaque Production Sdn Bhd adalah untuk memberi nilai tambah lain kepada penonton kami selain dari hiburan semata-mata dan penglibatan kami secara terus dengan program pembangunan bola sepak akar umbi FA Selangor selari dengan misi tersebut,” jelas Nur Naquyah.
“Harapan kami adalah untuk melihat lebih ramai kanak-kanak lebih aktif bermain bola sepak dengan penglibatan kami dan mungkin, satu hari nanti akan ada bakat bola sepak baharu yang dapat dilahirkan dari program ini,” tambahnya.
Tajaan dalam bentuk wang tunai dari Les’ Copaque Production Sdn Bhd dilihat mampu memberikan impak besar dalam perlaksaan program ini, khususnya setelah pandemic COVID-19 melanda.
FAS Soccer School yang baru sahaja dilancarkan pada tahun lalu kini sudah disertai oleh 6 sekolah di seluruh negeri Selangor dan menyaksikan lebih 500 kanak-kanak berusia 7-12 tahun dan 24 jurulatih terlibat secara langsung dengan program ini.
FA Selangor berterima kasih kepada Les’ Copaque Production Sdn Bhd atas kerjasama ini dan berharap ia akan berterusan untuk jangka masa panjang dan memberi lebih peluang dan faedah untuk menjamin masa depan bola sepak Selangor dan Malaysia secara umumnya.